suria

JMM Buat Laporan Dakwa Penulis Blog Dibayar Tulis Artikel PM

PUTRAJAYA: Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) pada Rabu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mendakwa penulis blog Sarawak Report telah dibayar untuk menulis artikel kononnya Datuk Seri Najib Tun Razak mengalami strok ringan pada 5 Januari lepas.

Presiden JMM Azwanddin Hamzah berkata pertubuhan itu mempunyai beberapa bukti pemberian rasuah dalam kes itu dan mahukan SPRM menyiasat.

"Blog ini kami percaya telah dibayar oleh beberapa kalangan individu yang mempunyai kepentingan politik, yang berniat jahat untuk membuat fitnah terhadap Perdana Menteri dengan cuba merosakkan nama beliau, dan mencetuskan satu gerakan menghancurkan ekonomi negara," katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan di ibu pejabat SPRM, di sini.

"Kemungkinan besar mereka dari kalangan pemimpin politik. Biar SPRM buat siasatan dulu. Tetapi bukti yang ada sangat kukuh," katanya.

Pada Selasa perdana menteri menafikan dakwaan beberapa blog sejak minggu lalu kononnya beliau diserang strok ringan dan meminta rakyat tidak terpengaruh dengan khabar angin. - BERNAMA

Artikel Lain