suria

Tatarstan Berminat Teroka Industri Halal Dan Perbankan Islam Dengan Malaysia

PUTRAJAYA: Republik Tatarstan dalam Persekutuan Rusia berminat meneroka potensi kerjasama dengan Malaysia, terutamanya dalam industri halal dan perbankan Islam, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Selasa.

Beliau berkata Tatarstan, wilayah separa autonomi dalam Persekutuan Rusia dan sebuah daripada wilayah terbesar yang dihuni penduduk Islam iaitu kira-kira 18 juta, mempunyai potensi besar bagi industri halal.

"Kami membincangkan pelbagai isu, dan saya fikir terdapat potensi yang sangat besar bagi Tatarstan dan Malaysia untuk bekerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, terutamanya industri halal, perbankan Islam, pelancongan dan pengajian tinggi.

"Selain itu, republik itu juga berminat untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam industri minyak dan gas, infrastruktur, tenaga dan pengeluaran helikopter. Mereka menyarankan agar kita menimbang perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Presiden Tatarstan Rustam Minnikhanov, di Wisma Putra, di sini Selasa.

Minnikhanov mengetuai delegasi 40 ahli perniagaan dan pegawai kerajaan serta pendidikan bagi lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, bermula Selasa.

Lawatan itu penting ke arah memperkukuhkan kerjasama dua hala yang dirintis semasa lawatan Minnikhanov ke Malaysia pada 2010.

Mengenai pendidikan tinggi, Anifah berkata Tatarstan mempelawa pelajar Malaysia untuk mengikuti pengajian perubatan di Kazan, ibu kota republik berkenaan.

"Mereka sangat maju dalam pengajian perubatan dan presiden mencadangkan supaya kita menghantar sebahagian daripada pelajar perubatan kita ke Kazan," katanya.

Anifah berkata Tatarstan turut berharap untuk mengadakan penerbangan terus ke Kuala Lumpur bagi melonjakkan sektor pelancongan kedua-dua negara.

Pelaburan asing dari Malaysia ke Tatarstan meningkat daripada US$741,100 kepada US$950,000 pada 2011. Suku ketiga 2012 menyaksikan pelaburan berjumlah US$568,000 ke Tatarstan dari Malaysia.

Tahun lepas, Tatarstan menarik pelaburan asing berjumlah US$420 juta, dengan US$334 juta daripadanya adalah pelaburan langsung asing.

Republik itu, dengan penduduk berjumlah 3.8 juta, mempunyai hampir 1,300 syarikat dengan penyertaan modal asing, dan daripada jumlah itu lebih 600 buah dimiliki sepenuhnya oleh pelabur asing. - BERNAMA

Artikel Lain