suria

Polis Giat Buru Seorang Lagi Suspek Utama Kes Culik Wanita 52 Tahun

IPOH: Polis giat memburu seorang daripada empat suspek utama kumpulan yang menculik seorang wanita berusia 52 tahun di Taiping dekat sini pada Disember lepas.

Timbalan Ketua Polis Perak SAC Datuk A. Paramasivam berkata setakat ini pihaknya belum mempunyai butiran terperinci mengenai suspek berkenaan manakala polis masih menyoal siasat rakan suspek yang kini ditahan.

"(Rakan) suspek yang kini ditahan polis itu memang ada rekod jenayah dan mengikut risikan dua lagi suspek utama yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis pada malam semalam juga terlibat dalam beberapa kes jenayah," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis 'Community Policing' di Mydin Mall di sini Selasa.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan bahawa keluarga mangsa telah menyerahkan wang tebusan berjumlah RM3 juta kepada kumpulan penjenayah terbabit termasuk dakwaan berlakunya proses tawar-menawar tuntutan itu.

Pada malam semalam, wanita yang diculik sejak 26 Dis lepas dengan tuntutan wang tebusan RM30 juta berjaya diselamatkan sepasukan polis khas selepas dua daripada empat penculiknya ditembak mati di bekas premis jualan susu getah di Trong, Taiping.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun di Kamunting, Taiping pada pukul 4 pagi dan polis kini memburu seorang lagi suspek utama serta menyiasat kemungkinan terdapat rakan penjenayah lain yang terlibat dalam kes penculikan itu.

Mengenai kes seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dan pembantu rumah yang ditemui mati di Sitiawan petang semalam, Paramasivam berkata kes itu masih disiasat dan setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat.

"Kita minta orang ramai terutama penduduk kampung itu memaklumkan kepada polis mengenai sebarang pergerakan ke rumah itu pada awal pagi. Kita syaki ada rakan penjenayah yang datang ke rumah mangsa pada pagi itu membuat tinjauan sebelum kejadian pembunuhan itu berlaku," katanya.

Beliau berkata polis percaya penjenayah mengenali seorang daripada mangsa.

Pada Isnin, seorang lelaki OKU dan pembantu rumahnya ditemui mati oleh rakan mangsa yang ingin melawatnya di sebuah rumah di New Village, Kampung Koh masing-masing dengan kesan kelar dan kecederaan parah di bahagian kepala. - BERNAMA

Artikel Lain