suria

Perkasa, Lima NGO Buat Laporan Polis Bantah Demo Sabtu Ini

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pada Selasa mewakili lima badan bukan kerajaan (NGO) lain membuat laporan polis berhubung penganjuran demonstrasi oleh pembangkang pada Sabtu ini.

Laporan tersebut dibuat di Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada pukul 11 pagi oleh Timbalan Ketua Penerangan Perkasa, Abdullah Mansor dengan disertai beberapa ahli pertubuhan itu.

Lima lagi NGO yang hadir adalah Jaringan Melayu Malaysia, Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinnbam), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Persatuan Penjaja dan Perniaga Kecil Wilayah Persekutuan dan Persatuan Pemandu Teksi.

Abdullah berkata, laporan berkenaan dibuat sebagai membantah penganjuran perhimpunan itu kerana ia akan mendatangkan pelbagai kesan negatif yang merugikan negara dan rakyat.

"Kami menentang sekeras-kerasnya penganjuran perhimpunan ini kerana ia akhirnya akan mencetuskan rusuhan dan kacau-bilau yang boleh membawa kepada kerosakan harta awam serta menjejaskan keselamatan orang ramai," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di sini.

Abdullah mendakwa, perhimpunan yang kononnya mahu diadakan di Stadium Merdeka akan turut melibatkan tiga lokasi iaitu Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Dewan Himpunan Cina Selangor dan Masjid Negara.

"Saya mendapat maklumat ini dari beberapa blog. Malah, mereka (penyokong perhimpunan) dikatakan akan berhimpun secara haram di Dataran Merdeka bermula Jumaat hingga Ahad ini," dakwanya.

Menurutnya, perhimpunan tersebut mempunyai agenda tersembunyi demi kepentingan pihak tertentu terutamanya bagi menghalang isteri Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali menjadi saksi perbicaraan kes saman fitnah melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita tidak mahu pihak luar campur tangan, biar mahkamah buat keputusan mengenai perkara ini," katanya.

Justeru, beliau mendesak pihak berkuasa terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya mengambil tindakan keras ke atas penganjur perhimpunan itu dan penyokong yang menyertainya.

"Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali. Perhimpunan ini tidak wajar dilakukan malah ia tidak membawa manfaat kepada masyarakat dan negara.

"Tindakan sekeras-kerasnya terhadap individu yang hadir dan menganjurkan perhimpunan tersebut perlu diambil sebagai pengajaran kepada generasi masa hadapan," katanya.

Pada Isnin, pembangkang memberi jaminan bahawa penganjuran Himpunan Kebangkitan Rakyat Sabtu ini akan berlangsung secara aman selaras dengan semangat Akta Perhimpunan Aman 2011.

Artikel Lain