suria

Pelan Baru Pengurusan Trafik Di Persimpangan Maarof Dari 9 Jan Hingga 9 Jun

KUALA LUMPUR: Pelan Baru Pengurusan Trafik di Persimpangan Maarof akan bermula dari 9 Januari hingga 9 Jun berikutan penjajaran laluan untuk membolehkan pembinaan tiang Aliran Transit Massa (MRT) untuk stesen Pusat Bandar Damansara.

Pelan pengurusan trafik untuk Persimpangan Maarof yang dijalankan secara berperingkat akan menjejaskan laluan dari Petaling Jaya dan Kuala Lumpur ke Jalan Maarof, dan dari Jalan Maarof ke arah Petaling Jaya dan Pusat Bandar Damansara.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp, Amir Mahmood Razak berkata, dalam usaha untuk memastikan aliran trafik lancar semasa tempoh pembinaan, mereka telah mendapatkan bantuan dari polis Trafik Kuala Lumpur.

"Polis Trafik akan berada di dua persimpangan lampu isyarat di hadapan Menara Bangsar dan Bangsar Shopping Centre pada waktu puncak (7 pagi hingga 9 pagi; 12 tengah hari hingga 1 petang; 5 petang hingga 7 malam) dari Isnin hingga Jumaat," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Amir Mahmood berkata, beberapa siri rundingan telah diadakan dengan Sprint, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pihak Berkuasa Lebuhraya Malaysia dan polis Trafik Kuala Lumpur bagi memastikan pelan pengurusan trafik untuk Persimpanan Maarof mempunyai kesan minima terhadap pengguna jalan raya.

"MRT Corp ingin memberi jaminan kepada pengguna jalan raya bahawa aliran trafik di persimpangan ini akan dipantau apabila pelan pengurusan trafik ini berkuatkuasa.

"Jika pemantauan menunjukkan kesan negatif yang ketara, akan ada perubahan terhadap pelan itu, dan ini akan dilakukan dengan nasihat polis Trafik dan DBKL," katanya.

Beliau berkata, papan tanda keselamatan akan diletakkan di kawasan terlibat bagi memastikan pengguna jalan raya peka dengan kerja-kerja yang sedang dijalankan dan rondaan 24 jam oleh MRT Ronda akan dijalankan di sepanjang laluan itu bagi menangani sebarang kecemasan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web http://www.mymrtcom.my, atau twitter @MRTMalaysia atau menghubungi hotline MRT di talian 1800-82-6868. - BERNAMA

Artikel Lain