suria

Nenek, Cucu Didakwa Miliki Heroin

MELAKA: Seorang nenek dan cucunya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Isnin atas tuduhan memiliki lebih dua gram heroin.

Norma Hamid, 71, dan cucunya Shaharudin Mohd Zin, 29, didakwa memiliki dadah tersebut dengan berat kasar 2.3 gram di sebuah rumah tidak bernombor di Sungai Udang dekat sini pada 12.30 tengah hari, 3 Januari lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Shaharudin juga menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu memiliki 0.3 gram heroin pada tarikh, masa dan lokasi sama mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya.

Kedua-dua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.

Majistret Ida Rahayu Sharif membenarkan Norma diikat jamin RM1,000 manakala Shaharudin diikat jamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Februari untuk sebutan semula kes itu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhamad Juhari Haron. - BERNAMA

Artikel Lain