suria

Lokasi Alternatif Himpunan Kebangkitan Rakyat Diumum Esok

PETALING JAYA: Penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat akan mengumumkan lokasi alternatif pada esok sekiranya pihak polis tidak membenarkan mereka berhimpun di Stadium Merdeka.

Pengarah Himpunan Kebangkitan Rakyat, Mohamad Sabu berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di Bukit Aman petang ini bagi membincangkan mengenai perkara tersebut.

"Kita akan tunggu sehingga pukul 12 tengah hari esok.

"Jika tidak ada apa-apa perkhabaran maka pukul 4 petang esok kita akan buat pengumuman di mana himpunan akan diadakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat pada Selasa.

Sebelum ini Pakatan Rakyat bertegas mahu Stadium Merdeka menjadi tempat Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan diadakan pada Sabtu.

Bagaimanapun, Mohamad yang juga Timbalan Presiden PAS mengesahkan bahawa sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak pengurusan Stadium Merdeka terhadap surat permohonan bagi menggunakan stadium yang dihantar 26 Disember.

Artikel Lain