suria

Kementerian Minta Papa Kemuka Kos Pengambilan Amah Indonesia

COCHIN (India): Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) diminta mengemukakan huraian perbelanjaannya dalam pengambilan pembantu rumah Indonesia untuk kelulusan kerajaan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata selepas cadangan itu diterima kementerian, Malaysia akan memohon Papa dan rakan sejawatannya di Indonesia untuk mengemukakan cadangan mereka kepada kerajaan masing-masing.

"Selepas itu, pasukan petugas bersama boleh ditubuhkan untuk membincangkan perkara itu," katanya kepada wartawan Malaysia di luar 'Pravasi Bharatiya Divas' ke-11, iaitu persidangan bagi orang asal India pada Selasa.

Beliau berkata sebarang keputusan rasmi berhubung perkara itu akan hanya dibuat susulan perbincangan berkenaan, yang akan diadakan secepat mungkin.

Dr Subramaniam turut mengalu-alukan cadangan terkini Papa untuk menaikkan kos bagi majikan Malaysia untuk mengambil pembantu rumah Indonesia daripada RM6,700 berbanding RM4,511.

Katanya ini adalah cadangan yang adil memandangkan Papa sebelum ini mencadangkan kadar kos hampir RM12,000 dan telahpun mengurangkannya kepada hampir separuh jumlah itu.

Kerajaan, katanya akan bekerjasama dengan rakan sejawatan dari Indonesia untuk mencari penyelesaian secara baik bagi memastikan kos yang dicadangkan itu boleh dikurangkan lagi.

Dr Subramaniam mencadangkan penyingkiran pihak ketiga atau orang tengah daripada proses pengambilan itu yang penting dalam mengurangkan kos.

"Pada masa ini, terdapat cadangan daripada kerajaan Indonesia mengenai perkara itu namun ia memerlukan perbincangan selanjutnya di samping prosedur tertentu yang perlu dimulakan di kedua-dua negara untuk dilaksanakan dari segi jangka panjang," katanya.

Kementerian kini akan menyemak semula cadangan Papa dan jika mendapat persetujuan kerajaan Indonesia, cadangan itu akan diluluskan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain