suria

Isu CEC: DAP Terbuka Jika ROS Mahu Siasat

PETALING JAYA: DAP bersikap terbuka dan sedia disiasat Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung kontroversi keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) mereka baru-baru ini.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok berkata, parti itu tiada masalah sekiranya ROS mahu campur tangan berhubung kesilapan pengiraan undi yang menjejaskan kedudukan keputusan 20 teratas calon yang bertanding.

"Nak siasat, siasatlah...kami begitu telus dalam soal ini. Kita sudah umumkan apa yang berlaku, apa masalah yang timbul.

"Tak ada masalah kalau ROS nak siasat, bukan sahaja kami buat semakan dalaman tapi ia turut melibatkan audit luar," katanya kepada mStar Online di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu ROS menyiasat dan mengeluarkan kenyataan rasmi sama ada DAP boleh diharamkan kerana kesilapan pemilihan CEC mereka.

Media baru-baru ini melaporkan bahawa DAP mengakui berlaku kesilapan dalam pengiraan undi semasa pemilihan jawatan CEC yang diumum 15 Disember tahun lalu dan menerusi keputusan yang dipinda itu, Zairil Khir Johari yang pada mulanya berada pada kedudukan 39, kini berada pada kedudukan 20.

Selain itu Vincent Wu, yang pada mulanya mendapat tempat keenam dengan 1,202 undi, jatuh ke tempat ke-26 kerana parti itu mendakwa beliau sebenarnya hanya meraih 669 undi.

Artikel Lain