suria

Guan Eng Tunggu Laporan Mansor Terhadap Kes Tangkapan Pembantu Timbalan Menteri

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri akan bekerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuah yang dikatakan melibat seorang pembantu kepada Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman baru-baru ini.

"Kami akan menunggu Mansor kembali dari luar negara dan mengemukakan laporan penuh mengenai isu tersebut dalam mesyuarat Exco Khamis," katanya di sini, Isnin.

Tambah Guan Eng, jika pembantu khas itu adalah seorang yang bergaji dengan kerajaan negeri, satu tindakan perlu diambil ke atasnya jika didapati bersalah.

“Kita tidak kompromi dalam korupsi tetapi untuk memberi keadilan kepada semua, kita mesti terlebih dahulu melihat kepada fakta-fakta yang terbentang di hadapan kita," ujarnya.

Menurut Guan Eng, kerajaan negeri masih lagi kabur dengan kes tersebut kerana ia tidak melibatkan sebarang urusan kerajaan negeri secara langsung.

“Bila dan bagaimana ia berlaku adalah di luar pengetahuan kita. Ia lebih kepada isu peribadi yang kebetulan telah menjadi satu kes rasuah," kata Guan Eng lagi.

Ketua Menteri itu memberi jaminan sekiranya kes tersebut melibatkan kerajaan negeri, ia tidak akan sama sekali disembunyikan sebaliknya mereka akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi PKR Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, tertuduh dalam kes itu sebenarnya bertugas sebagai pembantu peribadi kepada Mansor di pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti yang diwakili oleh Mansor.

“Dia telah berkhidmat di pusat itu sejak Mansor terpilih sebagai wakil rakyat pada tahun 2008,” ujar Halim.

Mansor, yang juga pengerusi perhubungan PKR Pulau Pinang, kini masih berada di Mekah.

Telah dilaporkan sebelum ini bahawa pembantu berusia 56 tahun itu telah ditangkap dengan dua yang lain dalam operasi SPRM di Seberang Jaya.

Tiga ditahan kerana didakwa menawarkan rasuah dan menyalahgunakan kedudukan mereka berhubung satu kes gangguan seksual yang melibatkan seorang kerani wanita dan seorang pegawai tinggi kerajaan di peringkat daerah.

Artikel Lain