suria

PGA Rampas Rokok Bernilai Lebih RM1 Juta Di Bukit Kayu Hitam

BUKIT KAYU HITAM: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 186 kotak besar berisi rokok jenama John Black bernilai lebih RM1 juta termasuk cukai di pinggir hutan berhampiran kawasan Kompleks Bebas Cukai di sini, Sabtu lalu.

Pegawai Turus Risik/Gerakan Briged Utara DSP Mohd Saleh Mohd Hussain berkata rokok itu yang dipercayai diseludup dari negara jiran ditemui pada kira-kira 5 petang ketika pasukan membuat rondaan di kawasan tersebut.

"Hasil pemeriksaan kita menemui 186 kotak besar dengan setiap kotak berisi 50 karton rokok bernilai RM665,000 dan nilai cukai RM418,000. Kotak-kotak rokok tersebut ditutup dengan kain kanvas di hutan tersebut," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Beliau berkata pasukan itu telah menunggu di kawasan tersebut sehingga pukul 8 malam tetapi tiada sesiapa yang datang mengambil rokok-rokok tersebut.

"Semua rokok tersebut dibawa ke Markas Taktikal PGA di sini untuk pemeriksaan. Ini adalah rampasan besar yang kita lakukan untuk tahun ini," katanya.

"Kita percaya rokok-rokok itu akan dibawa ke serata tempat termasuk ke ibu negara untuk peniaga pasar malam dan peruncit di kawasan kampung.

"Setiap kotak berisi 20 batang rokok dan dipercayai dijual sehingga RM7 berbanding harga pasaran negara ini iaitu RM10 sekotak," katanya.

Beliau berkata rokok itu akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain