suria

BN Perlu Kerajaan Kuat Untuk Tadbir Negara Lebih Cemerlang - Shafie Apdal

SEMPORNA: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Barisan Nasional (BN) memerlukan kerajaan yang kuat selepas pilihan raya umum ke-13 bagi membolehkan ia mentadbir negara dengan lebih cemerlang.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata dengan adanya kerajaan yang kuat, BN boleh merangka dan melaksanakan dasar ekonomi, pendidikan dan sosial yang kukuh yang mampu memabawa Malaysia dan rakyat ke mercu kejayaan termasuk di peringkat antarabangsa.

"Saya menekankan tentang betapa pentingnya BN mempunyai kerajaan yang kuat. Bila kerajaan kuat, kerajaan boleh merancang sesuatu untuk kebaikan khususnya dalam konteks pentadbiran dan ekonomi negara. Kalau ekonomi negara kuat, yang mendapat faedah ialah rakyat," katanya.

Beliau yang Anggota Parlimen Semporna berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan dua buah van yang masing-masing bernilai RM100,000 yang merupakan sumbangan peribadi beliau kepada Pejabat Pelajaran Semporna untuk kegunaan sekolah dan pelajar di daerah ini.

Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad, Ketua Pengarah Kemas Datuk Hassan Md Amin dan Ketua Pengarah Risda Datuk Wan Mohd Zuki Mohamad Shafie yang turut menyerahkan beg sekolah kepada kira-kira 600 pelajar.

Mohd Shafie berkata rakyat Malaysia perlu belajar dari beberapa kerajaan negara maju yang berhadapan dengan masalah untuk memulih kelembapan ekonomi yang melanda negara mereka, sehingga menimbulkan banyak masalah lain seperti pengangguran kerana sukar mendapat kelulusan Parlimen atau Kongres negara masing-masing. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain