suria

Tiada Pampasan Ekoran Tembok Runtuh Penduduk Setiawangsa Berang

KUALA LUMPUR: Terkejut dan berang itulah antara reaksi pemilik rumah di Bukit Setiawangsa berhubung kenyataan bahawa tiada sebarang pampasan akan diberikan selepas tembok penahan setinggi 60 meter berhampiran kediaman mereka runtuh.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dilaporkan berkata kerajaan tidak akan memberi pampasan kepada mereka yang terlibat kerana ia tidak adil untuk menggunakan wang pembayar cukai.

Bagaimanapun pemaju, Kumpulan I&P Sdn Bhd enggan mengulas ketika ditanya sama ada mereka akan mempertimbangkan untuk memberi ganti rugi kepada penduduk yang terjejas.

“Apa yang akan berlaku jika tembok runtuh dan keluarga saya kehilangan tempat tinggal? Apa yang mereka jangka kami akan lakukan? Dapat sebuah rumah baru?” soal seorang penduduk, Umair Al-Zubair.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Yeoh berkata mereka membeli hartanah di kawasan itu kerana ia telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

Beliau yang telah tinggal di sebuah hotel sejak Jumaat berkata, wang sebanyak RM1,500 yang diberikan oleh pemaju kepada mereka tidak mencukupi.

“Kami harus berpindah dan kos penginapan bukan murah,” katanya.

Kuldip Singh pula menggesa pihak berkuasa memfokuskan usaha membetulkan cerun yang runtuh itu.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Puncak Setiawangsa Fauziah Jamaluddin berkata beliau sangat terkejut dengan kenyataan menteri namun berharap ia bukan keputusan muktamad.

Sementara itu, pegawai I&P berkata 300 blok konkrit telah digunakan untuk membina benteng penahan setinggi 60 meter di antara kawasan bahaya dengan kediaman penduduk kawasan itu.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique pula menasihatkan pemilik kediaman supaya menunggu keputusan mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Beliau menambah satu memorandum akan diserahkan kepada jawatankuasa kecil Kabinet Isnin ini.

Artikel Lain