suria

Remaja Lelaki Keluar Memancing Dikhuatiri Lemas

BUTTERWORTH: Seorang remaja lelaki yang keluar memancing bersama rakannya dikhuatiri lemas selepas dibawa arus deras ketika terjun ke laut untuk mengambil tali bot yang terlucut berhampiran pelabuhan pukal dekat Perai, di sini Sabtu.

Mangsa Mohd Fahmi Abu Bakar, 20, keluar rumah pada 11 malam Jumaat untuk pergi memancing berhampiran Jambatan Pulau Pinang bersama seorang rakannya, Abdul Hakim Abdul Latif, 20-an dengan menaiki bot gentian kaca milik bapa Mohd Fahmi.

Penguasa Bomba Zon Perai, Alias Musa berkata mereka yang menaiki bot dari jeti di Kuala Juru itu tidak dapat meneruskan perjalanan akibat hujan dan berhenti di sebuah menara pemancar berhampiran pelabuhan pukal pada 2 pagi Sabtu sementara menanti cuaca reda.

"Ketika mereka sedang menunggu di menara pemancar berkenaan tali bot yang diikat itu terlucut dan mangsa dikatakan terjun ke laut untuk mengambil tali itu sebelum dia dilihat tenggelam timbul dan tidak lagi kelihatan dipercayai dibawa arus deras," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Katanya berikutan kejadian itu Abdul Hakim yang berada di menara itu bertindak menghubungi pihak bomba dengan menggunakan telefon mangsa yang ditinggalkan dan dia berjaya diselamatkan kira-kira empat jam kemudian.

"Selepas mendapat panggilan pada 2.45 pagi, pihak bomba menghantar 12 anggota bersama tiga bot, termasuk satu bot aluminium bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa. Manakala rakannya berjaya ditemui kira-kira 10 batu nautika dari tempat mereka bertolak iaitu di menara dekat pelabuhan pukal dalam keadaan selamat," katanya.

Alias berkata bot yang dinaiki mereka berjaya ditemui semula berhampiran jeti Kuala Juru.

"Operasi mencari disambung semula pada 8 pagi tadi dan kita turut dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sehingga jam 7 malam. Sekiranya mangsa masih gagal ditemui, kita akan sambung semula operasi keesokan harinya," katanya.

Sementara itu, kakak sulung Mohd Fahmi, Zuraida Abu Bakar, 37, ketika ditemui berkata dia mengetahui adiknya itu jatuh ke laut selepas menerima panggilan daripada ibu, Zaiton Abu Hassan, 55, pada 2 pagi Ahad.

Beliau berkata bapanya, Abu Bakar Othman, 50-an, telah melarang adik bongsunya itu dari turun ke laut atas faktor cuaca dan sudah lewat malam tetapi mangsa masih tetap mahu pergi.

"Dia (Mohd Fahmi) beritahu ayah (semalam) ini adalah kali terakhir dia pergi memancing kerana minggu depan tak mahu memancing lagi dan mahu pergi kerja. Memang dia selalu ikut ayah pergi ke laut sebab ayah seorang nelayan. Dia dan Abdul Hakim memang rapat dan sering ke mana-mana bersama. Saya difahamkan dia yang beria-ia mengajak Hakim memancing di sana (Jambatan Pulau Pinang). Sebelum ini mereka tak pernah ke sana," katanya.

Zuraida berkata Mohd Fahmi yang juga anak lelaki tunggal dalam keluarga adalah seorang adik yang baik dan suka membantu orang lain selain mendengar kata. - BERNAMA

Artikel Lain