suria

Mayat Dua Nelayan Hilang Di Perairan Batu Payung Ditemui

TAWAU: Mayat dua nelayan yang dilapor hilang selepas terjatuh daripada perahu mereka ketika memancing di kawasan perairan Batu Payung Jumaat, ditemui pada Sabtu.

Mayat Zulkarnain Jabir, 27, ditemui oleh orang ramai pada pukul 7.31 pagi, tidak jauh dari lokasi dia dilihat pada kali terakhir, manakala mayat Awang Suhaili Sahillah, 23, ditemui pada pukul 3.33 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Rudy Frezek ketika dihubungi berkata usaha mencari dan menyelamat dijalankan oleh pelbagai agensi dan dibantu nelayan tempatan.

Zulkarnain dan Awang Suhaili dilapor keluar memancing antara pukul 10 pagi dan 2 petang Jumaat sebelum mereka dilapor hilang.

Pada Jumaat, Pembantu Menteri Kewangan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Apas Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan melawat keluarga nelayan berkenaan dan menyampaikan sumbangan kepada mereka.

Beliau mengingatkan nelayan supaya sentiasa berwaspada dan mengikut arahan pihak berkuasa selain perlu mengikuti perkembangan semasa sebelum turun ke laut demi keselamatan mereka. - BERNAMA

Artikel Lain