suria

Lebih Ramai Penyokong & Ahli Pembangkang Akan Sertai BN - Ahmad Maslan

BANGI: Semakin ramai anggota dan penyokong pembangkang meninggalkan parti itu dan menyertai Barisan Nasional(BN) selepas kecewa dengan kepimpinan serta kegagalan pemimpin pakatan pembangkang menunaikan janji, kata Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN Datuk Ahmad Maslan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga berkata, petanda itu memberi keyakinan kepada BN untuk memenangi dua pertiga kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-13 nanti, sekaligus merampas negeri-negeri yang tewas pada pilihan raya umum pada 2008.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno yakin, lebih ramai anggota parti pakatan pembangkang akan meninggalkan parti itu dan menyertai BN kerana mereka menyedari hanya BN sahaja mampu mengubah kehidupan, menjamin kepentingan serta mencorakkan masa depan yang cerah bagi rakyat di negara ini.

Sebagai contoh, beliau berkata lebih 400 penyokong Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dari Bangi dan Serdang telah menyertai kelab penyokong BN dalam masa beberapa bulan ini selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pas dan parti pembangkang yang lain.

"Perubahan ini kita dapat lihat di banyak tempat di seluruh negara. Bagi kita ia merupakan satu perubahan yang amat menarik dan memeranjatkan. Kita jangka lebih ramai lagi akan meninggalkan parti pembangkang dan menyertai BN," katanya kepada pemberita selepas meninjau tiga bilik gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di sekitar Bangi, di sini, Sabtu.

Pada majlis itu, Ahmad Maslan turut menerima borang keahlian 50 bekas penyokong PAS yang menyertai Kelab Penyokong BN dan mereka berjanji menyokong B Npada pilihan raya umum akan datang.

Wakil kumpulan itu, K.Balamurugan berkata mereka yang terdiri daripada anggota penyokong Pas dari Bangi dan Serdang keluar parti kerana tidak sanggup lagi ditipu oleh pimpinan pembangkang.

"BN, bila janji mereka benar-benar tepati janji. Tetapi Pas bukan macam itu, masa nak undi mereka janji nak buat itu dan ini tetapi bila menang mereka sudah lupa semua. "Kita minta tolong pun mereka tolak, sekarang kita dah tahu siapa mereka sebenarnya," katanya.

Mengenai persiapan dan persediaan jentera BN dan PDM, Ahmad Maslan berkata walaupun berpuas hati dengan persiapan, namun beliau mahukan ia terus berada pada tahap yang tertinggi.

"Semua PDM perlu membuat persiapan sampai ke tahap peratusan yang tertinggi.

"Kalau belum ada jentera kita kena siapkan jentera. Saya telah diminta Presiden BN dan UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu PDM. Saya berasa gembira kerana mereka dah buat persiapan yang cukup rapi," katanya.

Menurutnya, setiap bilik gerakan BN juga perlu siap sedia dengan pelan dan agenda termasuk mengadakan pelbagai aktiviti, memastikan segala peralatan dan keperluan bagi memperkuat jentera pilihan raya serta memastikan BN mendekati rakyat dan memenangi pilihan raya. -BERNAMA

Artikel Lain