suria

Kos Amah RM6,700 Tidak Munasabah - Mama

KUALA LUMPUR: Cadangan menetapkan kos pengambilan pembantu rumah dari Indonesia pada harga RM6,700 oleh Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) bukan sahaja tidak munasabah malah turut membebankan majikan.

Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama) Engku Fauzi Engku Muhsein berkata mereka membantah cadangan struktur kos baharu itu dan menganggapnya satu kesilapan yang serius jika dilaksanakan.

"Jika keputusan itu benar hendak diambil, saya tidak bersetuju kerana terang-terang harga itu tidak munasabah dan masih tinggi dan hanya akan membebankan majikan lagi," katanya.

Beliau mengulas mengenai pengumuman oleh Presiden PAPA, Jeffrey Foo pada Jumaat bahawa kos pengambilan pembantu rumah Indonesia ditetapkan pada harga RM6,700, berkuatkuasa serta merta.

Struktur kos baharu itu tidak termasuk tambahan RM1,800 sebagai pinjaman kepada pembantu rumah untuk berkongsi yuran Penempatan Tenaga Kerja Indonesia Sektor Domestik di Indonesia.

Foo berkata cadangan struktur kos baharu itu dicapai antara pihaknya dengan Asosiasi Perusahaan Jasa Tenaga Kerja Indonesia (APJATI) dan berharap cadangan yuran baharu itu dapat diterima oleh kerajaan Malaysia dan Indonesia.

Engku Fauzi turut meluahkan kehairanan mengapa hanya PAPA terlibat dalam rundingan dengan APJATI.

"Pandangan semua pihak termasuk MAMA perlu diambil kira agar keputusan sepakat boleh dicapai tetapi kami hairan kenapa kami tidak dilibatkan dalam rundingan...jika satu pihak yang letakkan harga, itu tidak sihat malah majikan yang menjadi mangsa.

"Kami percaya banyak cara alternatif untuk mengurangkan kos dan kami boleh buktikan harga tersebut boleh direndahkan sekiranya pandangan kami turut diambil kira," katanya.

Di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Indonesia dan Malaysia sebelum ini, bayaran kepada agensi pembantu rumah asing Indonesia ditetapkan sebanyak RM4,511 iaitu RM2,711 dibayar oleh majkan dan RM1,800 oleh pembantu rumah berkenaan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (PIKAP) Datuk Raja Zulkepley Dahalan ketika dihubungi berkata pihaknya akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat bagi memperjelaskan cadangan itu. - BERNAMA

Artikel Lain