suria

Perkasa Tidak Akan Terlibat Dalam Perhimpunan Pada 12 Jan

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) tidak akan terlibat dengan satu perhimpunan yang dirancang untuk diadakan di ibu negara oleh pakatan pembangkang pada 12 Jan ini.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berkata pihaknya tidak akan campur tangan atau mengadakan perhimpunan lain bagi menyuarakan bantahan terhadap perhimpunan itu kerana kehadiran Perkasa hanya akan mengeruhkan keadaan.

"Kita tidak akan ikut permainan propaganda pembangkang yang sengaja mahu cetuskan kekecohan sehingga terjadinya insiden seperti di Dataran Tahrir, Mesir kerana itu yang mereka mahukan," katanya kepada pemberita di sini.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata pakatan pembangkang merancang untuk mengadakan satu perhimpunan yang dinamakan perhimpunan kebangkitan rakyat di bandar raya pada 12 Jan ini.

Dalam pada itu, Ibrahim meminta Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN) bertindak tegas dalam menguatkuasakan enakmen sedia ada bagi memelihara kesucian dan kedaulatan institusi agama Islam termasuk dalam isu penggunaan kalimah Allah.

Beliau berkata langkah itu perlu bagi membendung berlakunya perselisihan faham berkaitan agama di negara ini yang disifatkan sensitif selain boleh menimbulkan kekacauan dan menjejaskan perpaduan.

Ibrahim mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menggesa kerajaan pusat membenarkan penganut Kristian di Semenanjung menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu. BERNAMA

Artikel Lain