suria

NGO Minta Polis Siasat Penyebaran Klip Video 'Ubah Rocket Style'

BALIK PULAU: Enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran klip video 'Ubah Rocket Style' secara berleluasa di Youtube.

NGO itu ialah Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiyah Daerah Barat Daya dan Persatuan Bekas Polis Daerah Barat Daya.

Setiausaha Agung IRIMM, Zainol Abidin Ahmad berkata klip video dalam versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris itu memberi imej negatif kepada kepimpinan tertinggi negara dan tidak wajar menjadi tontonan orang ramai.

"Kandungan video itu menunjukkan mereka (DAP) cuba menanam elemen kebencian di kalangan masyarakat berbilang kaum terhadap negara dan mereka kelihatan terdesak meraih sokongan melalui kaedah menghina dan menyindir kepimpinan negara," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini.

Beliau berkata laporan polis itu turut bertujuan mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang bertanggungjawab dalam pembikinan video itu dan menarik semula penayangannya di Youtube.

Klip video berunsur komedi selama 3.39 minit yang mula dilancarkan pada Kongres Kebangsaan DAP ke-16 15 Dis lepas, memperdengarkan lirik sinis memperlekeh pasukan penguatkuasa keselamatan, menghina isteri pemimpin, selain menonjolkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng beraksi bersama moskot Nuri melaungkan 'Ubah Rocket Style'.

Lagu tema kempen pilihan raya umum DAP itu turut memaparkan pemimpin-pemimpin DAP beraksi mengikut parodi tarian 'kuda' penyanyi Psy dari Korea iaitu 'Oppa Gangnam Style'. BERNAMA

Artikel Lain