suria

Dua Nelayan Dikhuatiri Lemas Di Perairan Batu Payung

TAWAU: Dua nelayan dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh dari perahu mereka ketika memancing di perairan Batu Payung Jumaat.

Awang Suhaili Sahillah, 23, dan Zulkarnain Jabir, 27, dilapor keluar memancing antara pukul 10 pagi dan 2 petang tadi.

Bapa saudara Awang Suhaili, Ahmadshah Salleh berkata dia diberitahu seorang nelayan bahawa perkara buruk mungkin menimpa anak saudaranya itu.

“Saya diberitahu bahawa salah seorang daripada mereka meminta tolong sambil melambai tangan dari dalam air. Saya dan beberapa orang lagi segera bergegas ke tempat kejadian dan hanya menemui perahu tanpa orang di atasnya," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzek berkata pihaknya yang menerima panggilan telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat, namun belum menemui kedua-duanya.

Usaha mencari turut dilakukan pihak polis, polis marin, Jabatan Pertahanan Awam serta penduduk setempat.

Sementara itu di Semporna, mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemui di dalam tong berisi air berhampiran rumahnya di Kampung Salimbangun semalam.

Nur Effa Sahira Ringkasan, 6, dilapor hilang Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah mengesahkan kejadian berkenaan. BERNAMA

Artikel Lain