suria

Dua Lelaki Rakyat Singapura Dan Dua Lelaki Tempatan Ditahan Dipercayai Edar Dadah

JOHOR BAHARU: Polis menahan empat lelaki termasuk dua rakyat Singapura yang dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah jenis heroin dan ganja dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Tampoi Indah, di sini, Rabu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua mereka ditahan kira-kira pukul 10.55 malam selepas polis bertindak atas satu maklumat berkaitan jenayah berkenaan.

"Pemeriksaan di dalam rumah terbabit menemui 516 gram dadah disyaki heroin dan 30 gram dadah disyaki ganja yang kedua-duanya dianggarkan bernilai RM20,700. Dadah tersebut dianggarkan boleh dibekalkan kepada 2,730 orang penagih," katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, Khamis.

Mohd Mokhtar berkata siasatan awal menunjukkan kesemua lelaki itu terlibat dengan sindiket pengedaran dadah ke Singapura dan ujian air kencing kesemua mereka adalah positif dadah.

Beliau berkata salah seorang daripada mereka juga baru enam bulan dibebaskan dari penjara atas kesalahan dadah dan kesemua mereka akan dirujuk ke mahkamah secepat mungkin bagi mendapatkan perintah tahanan reman. Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki rakyat Singapura, semalam, yang dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah dengan menjadikan sebuah rumah di Permas Jaya, di sini, sebagai makmal memproses dan mencetak dadah dipercayai pil ecstasy dan eramin 5.

Beliau berkata serbuan itu dilakukan kira-kira pukul 11 malam dan polis menemui 1,268 biji disyaki pil ecstasy dianggarkan bernilai RM63,400 dan 100 biji disyaki pil eramin 5 (RM3,000), 544 gram disyaki serbuk ecstasy (RM136,000) dan 139 gram kafein (RM100).

Katanya, kesemua dadah tersebut mampu dibekalkan kepada 5,000 penagih dan maklumat turut menunjukkan suspek terlibat dengan sindiket pengedaran dadah ke Singapura.

"Ujian air kencing lelaki itu menunjukkan dia positif terhadap dadah, namun, dia tidak mempunyai rekod jenayah. Dia juga akan dirujuk ke mahkamah secepat mungkin bagi mendapatkan perintah tahanan reman," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain