suria

Al-Quran Dan Telekung Berselerak Di Dalam Surau

MELAKA: Seorang lelaki yang dipercayai kurang siuman bertindak menyelerak 20 naskah Al-Quran dan telekung di ruang solat surau Nur Hidayah, Taman Peruna, Sungai Udang awal pagi Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supt Muhammad Koey Abdullah berkata lelaki berusia 30-an itu turut merosakkan beberapa buah pasu bunga di sekitar surau antara 1 hingga 5 pagi Jumaat.

"Seorang remaja melihat lelaki terbabit berada di kawasan surau berkenaan kira-kira 1.30 pagi dalam keadaan mengamuk berseorangan dan kita percaya lelaki tersebut kurang siuman dan dia merupakan individu yang terlibat dalam kejadian ini," katanya kepada pemberita di surau berkenaan.

Beliau berkata polis sedang mengesan lelaki terbabit dan menyiasat motif perbuatannya.

Tabung dan sistem pembesar suara surau bagaimanapun tidak dicuri.

Muhammad Koey berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan perasaan jahat, perpecahan atau pecah belah dalam konteks agama.

Bendahari surau Abdul Razak Othman berkata kejadian disedari jemaah yang mahu menunaikan solat subuh kira-kira 5.40 pagi.

"Kesemua Al-Quran disusun di dalam rak, namun pagi tadi semuanya didapati berselerak di atas lantai termasuk beberapa helai telekung di ruang solat wanita," katanya.

Laporan kemudiannya dibuat di Balai Polis Sungai Udang. BERNAMA

Artikel Lain