suria

PRU13: Anwar Gesa SAPP Beri Laluan Pakatan Di Sabah

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Parti Maju Sabah (SAPP) lebih realistik dalam soal pembahagian kerusi yang akan ditanding pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Sambil mengakui wujud pertikaian antara gabungan pembangkang yang berpusat di semenanjung terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP dengan parti tempatan itu, Anwar turut menggesa agar SAPP mengukur keupayaan mereka untuk menentang Barisan Nasional (BN).

"Kita dapat maklumat bahawa SAPP minta kerusi yang terlalu banyak. Hampir 50 peratus atau lebih daripada kerusi (yang dipertandingkan).

"Kalau lebih 50 peratus, maka ketiga-tiga parti iaitu PKR, PAS dan DAP merasakan sukar untuk memberikan laluan kepada parti yang tidak terlalu besar tapi minta lebih daripada setengah jumlah kerusi.

"Jadi saya nasihatkan SAPP kalau boleh turun betul-betul (kaji keupayaan) dan realistik," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Khamis.

Jelas Anwar, SAPP dan Pakatan Rakyat sebelum ini pernah mencapai kata sepakat untuk bertanding secara satu lawan satu bagi mengelakkan sebarang pertembungan antara parti pembangkang

Sebelum ini pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Sapi, PKR turut menghadapi masalah dengan SAPP apabila parti itu mengumumkan untuk tidak memberi laluan kepada PKR bertanding mencabar BN.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi di Sarawak, Anwar berkata pihaknya sudah menyelesaikan isu berkenaan antara parti pembangkang tempatan.

"Di Sarawak, hingga kini persiapan dan rundingan sudah mencapai 90 peratus. Ada sedikit sahaja yang perlu diperkemaskan," katanya.

Artikel Lain