suria

Penganggur Didakwa Sebabkan Kecederaan Parah Terhadap Ibunya

KUALA LUMPUR: Seorang penggangur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap ibunya, tahun lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Lim Kean Aun, 34, selepas tertuduh tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh seorang jurubahasa di hadapan hakim Datuk Jagjit Singh.

Jagjit turut membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri supaya tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan untuk pemeriksaan psikiatri selama sebulan dan menetapkan 4 Februari depan untuk sebutan kes.

Perintah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 342 (3) Kanun Acara Jenayah.

Bagaimanapun, sekiranya tempoh tersebut tidak mencukupi, mahkamah membenarkan tempoh itu dilanjutkan sehingga dua bulan.

Mengikut kertas pertuduhan, Lim didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah di bahagian kepala terhadap ibunya Tan Kwee Hua,59, di sebuah pondok kolam pancing ikan milik bapanya di Bukit Jalil, Cheras dekat sini pada jam 8 pagi, 30 Disember tahun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain