suria

Tiga Sekolah Masih Ditutup Di Hulu Terengganu

KUALA TERENGGANU: Tiga buah sekolah masih ditutup di negeri ini ekoran ditenggelami air sementara 28 buah lagi yang ditangguhkan penggal persekolahan baharu semalam telah dibuka, Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata tiga sekolah berkenaan terletak di Hulu Terengganu iaitu Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan dan Sekolah Kebangsaan Bukit Tadok.

"Jika keadaan beransur pulih, kesemua sekolah berkenaan akan memulakan sesi persekolahan esok. Cuaca dilihat semakin baik hari ini dan saya harap semua sekolah berkenaan dapat dibuka kembali pada Khamis," katanya kepada pemberita semasa melawat seorang murid Tahun 1 yang menghidapi masalah jantung, di Sekolah Kebangsaan Wakaf Mempelam di sini, Rabu.

Beliau berkata kesemua sekolah yang ditutup semasa permulaan sesi persekolahan, perlu menggantikannya pada hari Sabtu ini.

Sementara itu tinjauan Bernama ke Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan di Kuala Berang, didapati para guru, anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat dan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu, bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah pada pukul 8.30 pagi Rabu.

Guru Besarnya, Mohd Hassan Deraman berharap ekoran cuaca baik yang dialami sekarang, sekolah itu dapat dibuka semula, Khamis.

Sementara itu di KELANTAN, hanya Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Diniah di Rantau Panjang, Pasir Mas yang masih ditutup.

Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pelajaran Kelantan, Abdul Aziz Abdullah berkata empat buah sekolah di Tumpat yang ditutup semalam, akan beroperasi mulai esok.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan, SK Bendang Pak Yong, SK Telok Jering dan SABK Nurulhuda.

"Mengikut laporan pejabat pelajaran daerah, (kecuali SABK Diniah) tidak ada lagi sekolah yang menghadapi masalah tidak boleh beroperasi akibat banjir, setelah bencana alam itu hampir pulih sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Abdul Aziz juga berkata sekolah yang teruk ditenggelami banjir telah dibersihkan. - BERNAMA

Artikel Lain