Syabas Jangka Bekalan Air Pulih Sepenuhnya Dalam Seminggu - Semasa | mStar

Syabas Jangka Bekalan Air Pulih Sepenuhnya Dalam Seminggu

KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas)menjangka bekalan air yang terjejas kepada lebih setengah juta penduduk di 90 kawasan sekitar ibu negara dapat dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh seminggu.

Ketua Pegawai Eksekutif Syabas Datuk Ruslan Hassan berkata kerosakan di dua rumah pam iaitu di Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru dijangka dapat diatasi selewat-lewatnya hari ini tetapi proses penyaluran air ke kawasan terlibat mengambil masa seminggu.

"Proses penyaluran air ke kawasan-kawasan yang terlibat selepas kerja pembaikan dilakukan akan mengambil masa paling cepat seminggu...tempoh masa diperlukan untuk mengisi semula paip-paip dan kolam-kolam yang kosong," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Ruslan berkata pihaknya menyediakan 40 lori tangki milik Syabas selain lori sewa daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak swasta untuk menghantar air kepada penduduk.

"Saya juga telah berjumpa dengan pihak kerajaan Selangor dan hasil mesyuarat pagi ini, mereka bersetuju untuk menghantar tujuh buah lori (untuk membekal air)," katanya. Selain itu, Syabas turut menempatkan 110 tangki statik di lokasi-lokasi strategik sekitar kawasan terlibat bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan air.

Mengulas kerosakan di rumah pam, Ruslan berkata kerosakan di rumah pam Wangsa Maju berlaku pada 29 Dis lalu dan kerosakan kedua dikesan berlaku di rumah pam sama pada jam 3.15 petang semalam (1 Januari).

Masalah ketiadaan air diburukkan lagi apabila rumah pam Pudu Hulu Baru mengalami kerosakan pada papan suis utama pada jam 1.30 petang Selasa, dipercayai berlaku selepas kerja-kerja penyelengaraan pencawang elektrik berhampiran oleh Tenaga Nasional Berhad.

Antara kawasan terjejas ialah di Flat DBKL Datuk Keramat, Jalan Semarak, Kampung Pandan Dalam, Taman Shamelin, Bandar Sri Permaisuri, Desa Pandan, Taman Tenaga, Taman Miharja, dan Jalan Ampang Hilir.

Taman Muda, Taman Seraya, Taman Bukit Permai, Taman Melur, Taman Teratai, Taman Mega Jaya, Taman Saga dan Kampung Cheras Baru.

Kampung Kemensah, Kampung Baru Ampang, Taman Datuk Ahmad Razali, Bukit Indah, Taman Rasmi Jaya, Taman Watan, Wangsa Melawati, Taman Bukit Ampang, Taman Ampang Mewah, Ukay Heights dan Beverly Heights. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).