suria

Pukul Isteri: Suami Didenda RM1,800

KUALA LUMPUR: Seorang jurujual penapis air didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, Rabu selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan mencederakan isterinya, semalam.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin turut memerintahkan Hazwan Sapi-ee, 24, menjalani hukuman penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Hazwan didakwa mendatangkan cedera terhadap Siti Norizzah Ahmad, 24, dengan memukulnya menggunakan tangan dan kaki di Taman Aman Putra, Jinjang Utara, Sentul, dekat sini, pada pukul 8 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000, atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh menarik mangsa masuk ke dalam bilik rumahnya lalu memukul mangsa sehingga menyebabkan mangsa mengalami luka dan lebam di bahagian muka dan bibir.

Mangsa turut mengalami pendarahan di bahagian hidung akibat daripada perbuatan tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Siew Ping manakala Hazwan diwakili peguam Khairul Amin Abdullah. -BERNAMA

Artikel Lain