suria

Polis Rampas Dua Pistol, 67 Peluru Hidup Dalam Serbuan Di Kepala Batas

KEPALA BATAS: Polis menahan dua lelaki dan dua wanita serta merampas dua pucuk pistol dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Datuk Haji Ahmad Badawi, di sini awal pagi Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata operasi pada pukul 1 pagi oleh polis Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) itu turut menemui 67 peluru hidup pelbagai saiz dan sepucuk pistol tiruan.

"Hasil risikan dan maklumat awam, polis yakin suspek berumur antara 38 dan 69 tahun itu mempunyai kaitan dengan beberapa kes samun menggunakan senjata api di sekitar daerah SPU dan kes bunuh seorang lelaki Febuari tahun lepas di sini," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata polis turut merampas 80 kartun rokok pelbagai jenama dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

Kesemua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Mazlan berkata kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan sebatan maksimum enam kali kerana memiliki peluru hidup.

Sementara itu, Mazlan berkata dua remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes ragut sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Jalan Permatang Manggis di sini Jumaat lepas.

Dalam kejadian pada pukul 7.45 malam itu, A. Joseph, 64, dan isteri A. Alaies, 52, dalam perjalanan dari rumah mereka di Bagan Ajam ke Kepala Batas untuk menghadiri sambutan hari jadi anak saudara mereka.

Suspek dikatakan menghimpit dan menolak motosikal yang dinaiki pasangan itu selepas meragut rantai emas isteri mangsa yang membonceng di belakang.

Beliau berkata dua remaja berkenaan ditahan reman bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -BERNAMA

Artikel Lain