suria

Operasi Mencari & Menyelamat Pendaki Gunung Benom Diteruskan

KUANTAN: Operasi mencari dan menyelamat besar-besaran dijalankan bagi mengesan seorang pendaki yang hilang di Gunung Benom, Raub.

Ketua Polis Daerah Raub, Supritendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata wanita yang hilang itu dikenali sebagai, Fong Ai Ting, 32, berasal dari Kuala Terengganu menyertai kumpulan ekspedisi mendaki gunung tersebut bersama 19 orang lain pada Ahad.

Beliau berkata kumpulan ekspedisi itu tiba di kem yang terletak di puncak gunung itu pada Isnin dan turun semula pada Selasa selepas bermalam di sana.

"Kumpulan itu bergerak turun pada pukul 9.30 pagi. Setengah jam kemudian, mereka menyedari Fong tidak lagi bersama kumpulan itu dan mereka percaya dia tersesat di dalam hutan," kata Mohd Sasudin kepada pemberita pada Rabu.

Menurutnya, kumpulan berkenaan telah cuba mencari Fong namun mereka tidak dapat menemuinya dan sebahagian daripada mereka turun untuk mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa pada pukul 10.30 malam manakala sebahagian yang lain meneruskan usaha mencari Fong.

Mohd Samsudin berkata kira-kira 30 anggota polis, kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama-sama orang kampung turut serta dalam operasi dan menyelamat bermula 8 malam Selasa.

"Empat Unit Anjing Pengesan (K9) daripada polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat turut dikerahkan manakala sebuh helikopter kini dalam perjalanan menyertai oeprasi ini," katanya sambil menambah operasi mencari dan menyelamat itu akan diteruskan 7 malam.

Artikel Lain