suria

Kerajaan Yang Berjasa Perlu Terus Diberi Mandat - Md Isa

KANGAR: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata kerajaan yang telah banyak berjasa kepada rakyat hendaklah terus diberi mandat untuk menguruskan pentadbiran negara.

"Rakyat ingin menikmati keselesaan hidup yang berterusan hasil daripada kecekapan kerajaan," katanya semasa berucap di perhimpunan bulanan penjawat awam persekutuan dan negeri di sini, Rabu.

Beliau menasihatkan para penjawat awam supaya berfikiran jauh dan memastikan kerajaan yang telah banyak berjasa kepada rakyat terus diberi mandat menguruskan negara.

"Pilih kerajaan bukan satu mainan atau sebagai satu percubaan. Ia adalah soal masa depan," katanya.

Md Isa berkata negeri Perlis melalui tempoh tahun lalu dalam keadaan tenang dan berharap tahun 2013 ini akan terus membawa ketenangan dan akan lebih gemilang.

Menurut beliau, walaupun ambang 2013 disambut dengan ramalan hujan lebat yang mungkin banjir di Perlis, namun beliau berharap kejadian itu tidak terjadi.

Sementara itu, Md Isa meluangkan masa meninjau hari pertama persekolahan di Perlis bersama Setiausaha Kerajaan Datuk Azizan Hamid melawat Sekolah Kebangsaan Stella Maris, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mata Ayer dan SMK Beseri.

Seramai 10,175 pelajar mendaftar memasuki kelas pra-sekolah, tahun satu dan tingkatan satu seluruh Perlis pada Rabu. - BERNAMA

Artikel Lain