suria

Hampir 5,500 Belia Daftar Untuk Rebat RM200

CYBERJAYA: Hampir 5,500 orang belia yang berumur dari 21 hingga 30 tahun telah mendaftar setakat pukul 7 malam Selasa untuk mendapatkan rebat RM200 Pakej Komunikasi Belia (PKB) untuk pembelian telefon pintar peringkat permulaan pada hari pertama pendaftarannya dibuka.

Bilangan pendaftaran terus meningkat ketika kenyataan ini dikeluarkan.

Skim PKB dilaksanakan oleh tujuh syarikat telekomunikasi, yakni Celcom, Clixster, DiGi, Maxis, Tune Talk, U Mobile dan YTL Communications dengan koordinasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Kami bersyukur dan gembira dengan sokongan yang diberikan orang ramai terhadap skim ini. Sambutan menggalakkan ini menunjukkan bahawa masyarakat, khususnya golongan belia, bersedia bergerak dalam zaman ICT dan menerima baik perkembangan teknologi dunia internet," kata Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Menurut beliau, kesan daripada sambutan yang menggalakkan itu, laman sesawang PKB iaitu komunikasibelia.skmm.gov.my dan nbi.skmm.gov.my telah mengalami sedikit gangguan kesesakan sejak ianya dibuka mulai pukul 7 pagi Rabu.

SKMM meminta orang ramai yang masih mencuba untuk mengakses laman sesawang tersebut agar bersabar untuk sedikit masa lagi.

Beliau berkata, masalah itu sedang ditangani oleh pasukan teknikal dan SKMM amat menghargai kesabaran orang ramai dan memohon maaf di atas kesulitan yang dialami.

Pendaftaran di bawah Pakej Komunikasi Belia dan skim Get Malaysian Business Online boleh dilakukan secara online dari pukul 7 pagi hingga 11 malam.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh hubungi hotline SKMM di 1800-88-4040 dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang, Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum.

SKMM juga ingin memaklumkan bahawa pihak penyedia perkhidmatan masih mengemaskinikan model-model telefon pintar dan senarai ejen-ejen mereka di laman sesawang masing-masing.

Setakat ini terdapat lebih 20 jenis telefon pintar 3G yang ditawarkan.

Syarikat penyedia perkhidmatan yang melaksanakan skim ini telah komited untuk terus menambahbaik pilihan model-model telefon pintar dari semasa ke semasa dengan menawarkannya pada paras dan harga yang kompetitif seperti yang telah diumumkan sebelum ini.

Para belia yang telah berdaftar juga dinasihatkan untuk membuat pilihan dengan bijak, meninjau pasaran terlebih dahulu dan membeli peranti pilihan berdasarkan tahap kemampuan masing-masing.

Senarai telefon pintar (mengikut abjad) yang akan ditawarkan adalah seperti berikut:

1) Alcatel 993D

2) Alcatel OneTouch Glory 2

3) Alcatel OneTouch Inspire 2

4) Blackberry Torch 9800

5) The Buzz Phone

6) HTC Wildfire

7) HTC Wildfire S

8) Huawei Ideos X3

9) LG Optimus L3

10) LG L3 E400

11) LG L3 E405

12) Motorola XT311

13) Ninetology Black Pearl II

14) Ninetology Palette

15) Nokia Asha 311

16) Nokia Lumia 610

17) Samsung Galaxy Chat

18) Samsung Galaxy Mini

19) Samsung Galaxy Pocket

20) Samsung Galaxy Y

21) Samsung Galaxy Y Duos

22) Sony Xperia Tipo Dual

23) Sony Xperia Tipo Single

24) ZTE Acqua

25) ZTE V790

- BERNAMA

Artikel Lain