suria

Banjir Di Terengganu Semakin Pulih, Kelantan Tidak Banyak Berubah

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Terengganu semakin baik manakala Kelantan tidak berubah dengan jumlah keseluruhan mangsa banjir berada di pusat pemindahan sementara di dua negeri tersebut seramai 182 orang berbanding 1,058 orang petang Selasa.

Di Terengganu, 138 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan di tiga daerah iaitu, di daerah Hulu Terengganu seramai 74 orang, diikuti Besut (43 orang) dan Setiu (21 orang), menurut portal banjir negeri.

Lima buah pusat penempatan banjir masih dibuka sehingga pukul 9 pagi ini iaitu masing-masing dua di Besut dan Hulu Terengganu manakala satu lagi di Setiu.

Di KELANTAN, keadaan banjir di jajahan Pasir Puteh tidak banyak berubah dengan 44 orang masih ditempatkan di pusat pemindahan pada pagi Rabu.

Menurut portal banjir negeri, seramai 26 orang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil dan 18 orang lagi di Sekolah Kebangsaan Bukit Awang, Pasir Puteh. - BERNAMA

Artikel Lain