suria

Mangsa Banjir Di Terengganu, Kelantan Meningkat

Kelihatan Posmen, Mas Izan Mustafa, 32, (kanan) menyerahkan surat yang dialamatkan kepada Jusoh Mohd, 85, yang terpaksa menggunakan perahu selepas rumahnya dinaiki air banjir di Kampung Matang di Terengganu, pada Selasa.

KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di dua negeri di pantai timur, Terengganu dan Kelantan meningkat setakat 9 pagi berbanding malam Isnin ekoran banjir gelombang kedua yang melanda sejak Isnin, bagaimanapun keadan banjir di Pahang semakin pulih.

Di TERENGGANU, banjir gelombang kedua yang melanda empat daerah di negeri itu menyebabkan 27 pusat pemindahan banjir dibuka bagi menempatkan 1,489 orang mangsa daripada 408 keluarga.

Menurut portal banjir negeri, setakat 9 pagi Selasa, Hulu Terengganu mencatatkan mangsa banjir terbanyak berjumlah 701 orang diikuti Besut (569 orang) Kemanan (162) dan Dungun (57).

Sebanyak 13 pusat pemindahan dibuka di Besut, Hulu Terengganu sebanyak 10 pusat pemindahan manakala Kemaman dan Dungun masing-masing dua pusat pemindahan.

Banjir yang melanda Terengganu sejak 23 Disember lepas telah meragut enam nyawa setakat ini.

Di KELANTAN, seramai 35 orang daripada 10 keluarga di daerah Pasir Puteh dipindahkan ke pusat pemindahan berikutan kampung mereka dilanda banjir pusingan kedua malam Isnin.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, 20 orang daripada enam keluarga dari Kampung Baru dan Kampung Tok Sudin dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil, Pasir Puteh pada pukul 10 malam Isnin manakala 15 orang daripada empat keluarga dari Kampung Gong Keding dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Awang, Pasir Puteh pada pukul 3 pagi.

Hujan lebat yang kembali melanda Kelantan sejak Isnin, menyebabkan beberapa batang sungai utama mula meningkat namun masih berada di paras berjaga-jaga.

Keadaan cuaca di Kelantan ketika ini mendung dengan sesekali hujan lebat.

Di PAHANG, keadaan banjir semakin pulih dengan mangsa banjir di Kuantan berkurangan kepada 59 orang daripada 14 keluarga berbanding 159 orang petang Isnin.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), seramai 50 mangsa daripada 13 keluarga dari Kampung Seberang Balok kini berada di Dewan Orang Ramai Balok dan satu keluarga terdiri sembilan orang dari Kampung Sungai Ular di Sekolah Kebangsaan Sungai Ular.

Laluan di Km18, Jalan Kuantan-Bypass (selepas Balai Bomba Gebeng) masih ditutup. - BERNAMA

Artikel Lain