suria

Juruteknik Maut Ditembak Dari Jarak Dekat

SEREMBAN: Seorang juruteknik sebuah pasar raya di sini, maut selepas ditembak dari jarak dekat ketika sedang menunggang motosikalnya di Taman Merpati, Rahang di sini malam Isnin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supt Lim Kim Fook berkata dalam kejadian pada 10.20 malam itu, mangsa Y.Gopal, 34, mati di tempat kejadian selepas terkena tiga das tembakan di dada dan satu di kepala.

"Ketika kejadian mangsa sedang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC seorang diri dalam perjalanan balik ke rumah sebelum didatangi sebuah motosikal lain yang dinaiki dua suspek.

"Suspek dipercayai telah melepaskan beberapa das tembakan dengan empat tembakan terkena mangsa menyebabkan dia rebah bersama motosikalnya di hadapan sebuah rumah di taman perumahan tersebut," katanya kepada pemberita di sini malam Isnin.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang sudah beristeri dan mempunyai empat anak mempunyai rekod jenayah lampau.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk bedah siasat dan motif pembunuhan masih disiasat, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain