suria

JAIP Cekup 13 Pasangan Remaja Berkhalwat Malam Tahun Baru

KUANTAN: Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mencekup 13 pasangan remaja berumur 18 tahun hingga 25 tahun dalam operasi cegah jenayah syariah sempena sambutan Tahun Baharu 2013.

Ketua Pegawai Penguatkuasa JAIP Mohd Raffli Abd Malik berkata pasangan berkenaan dicekup di beberapa hotel bajet di bandar ini dalam operasi bermula 9 malam Isnin dan berakhir kira-kira 6.30 pagi Selasa.

"Kebanyakan pasangan yang ditangkap berumur dalam lingkungan 18 hingga 25 tahun dan mereka didapati berkhalwat di hotel-hotel murah sekitar pusat bandar selepas meraikan sambutan tahun baharu.

"Pasangan itu bakal didakwa mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982," katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Katanya JAIP sentiasa mengadakan operasi dalam usaha membanteras umat Islam daripada terjebak dalam kes jenayah syariah seperti berkhalwat.

Di PULAU PINANG, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) menahan 39 orang berusia 16 tahun hingga 40 tahun dalam serbuan di beberapa hotel bajet.

Ketua Operasi JAIPP Khairul Azman Azizan berkata kebanyakan mereka yang ditahan dalam operasi itu datang dari luar Pulau Pinang bagi meraikan sambutan tahun baharu di negeri ini.

Katanya seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun bersama pasangan berumur 20 tahun yang ditahan memberi alasan berehat dalam bilik hotel kerana keletihan selepas menyambut tahun baharu.

"Dua beradik berusia 25 dan 28 tahun ditahan bersama pasangan masing-masing, kakak yang merupakan isteri orang ditahan bersama seorang duda dalam sebuah bilik manakala adiknya ditahan bersama suami orang dalam bilik berasingan," katanya selepas operasi itu. - BERNAMA

Artikel Lain