suria

Tiga Sekeluarga Terbunuh Dalam Nahas Di Lipis

KUANTAN: Tiga sekeluarga maut dalam kemalangan jalan raya di Km17, Jalan Lipis Benta pagi Isnin.

Mereka ialah Mohamed Abdul Hadi Sattar, 30, isterinya Najihan Ahmad, 31, dan anak tunggal mereka Muhammad Ammar Haziq, 3.

Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Abd Razak Hassan, ketika kejadian 11 pagi itu, keluarga berkenaan dikatakan dalam perjalanan ke Pulau Pinang dari Benta.

"Kereta Proton Gen2 yang dinaiki mangsa bertembung dengan sebuah kereta Proton Perdana yang datang dari arah bertentangan.

"Difahamkan kereta Proton Perdana itu memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta mangsa," katanya.

Mohamed Abdul Hadi yang berasal dari Pulau Pinang mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan, manakala isterinya yang berasal dari Benta meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Lipis.

Sementara anak mereka meninggal dalam perjalanan ke hospital.

Abd Razak berkata pemandu proton Perdana itu yang berumur 30 tahun cedera parah dan dirawat di hospital yang sama. -- BERNAMA

Artikel Lain