suria

Sambutan Tahun Baru 2013 Disambut Penuh Warna-Warni

Pemandangan dari udara sambutan Tahun Baru 2013 di Dataran Merdeka pada Selasa.
Pemandangan dari udara sambutan Tahun Baru 2013 di Dataran Merdeka pada Selasa.
Pemandangan dari udara sambutan Tahun Baru 2013 di Dataran Merdeka pada Selasa.

KUALA LUMPUR: Pertunjukan bunga api menerangi ruang angkasa Dataran Merdeka di sini, Selasa sempena sambutan Tahu Baru 2013.

Ia dianjurkan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan yang menyaksikan rakyat pelbagai kaum membanjirinya sejak 6 petang, termasuk para pelancong asing.

Timbalan Perdana Tan Sri Muhyiddin Yassin, isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Maznah Rais serta menteri-menteri kabinet turut hadir memeriahkan sambutan bersama lebih 1,300 rakyat pelbagai kaum.

Para pengunjung bersorak gembira apabila jam di Bangunan Sultan Abdul Samad berdetik sebanyak 12 kali bagi menandakan permulaan tahun baru.

Situasi yang sama turut dilihat di beberapa tempat lain di sekitar ibu negara seperti di Menara Berkembar Petronas, Bukit Bintang serta pusat pentadbiran Putrajaya.

Sambutan di Dataran Merdeka turut disiarkan secara langsung menerusi televisyen yang juga memuatkan tayangan video klip perutusan tahun baru daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Di Menara Berkembar Petronas, kira-kira 10,000 pengunjung membanjiri sekitar taman awam bagi menyaksikan sambutan dengan persembahan memukau 'Lake Symphony Fountain Show', diiringi persembahan bunyian dan cahaya yang menarik sebelum percikan bunga api memenuhi ruang angkasa tepat pada tengah malam.

Sementara itu kawasan rekreasi Taman Tasik Titiwangsa, di sini turut digegarkan dengan persembahan artis dalam Konsert KL Aktif 2013 anjuran stesen radio KLFM dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Di PUTRAJAYA, percikan bunga api mewarnai ruang angkasa bagi melengkapkan acara yang turut mengadakan Konsert Ambang Tahun Baru di Dataran Putrajaya yang dimeriahkan dengan kemunculan artis-artis terkenal.

Sambutan dianjurkan Putrajaya Holdings Sdn Bhd bersama Kumpulan Ambank, yang turut disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Di MELAKA, acara sambutan diserikan dengan program keagamaan di Masjid Al-Alami, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah yang diketuai Mufti Negeri Datuk Wira Rashid Redza Md Saleh beserta bacaan Yasin dan tahlil.

Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut hadir bersama kira-kira 1,000 jemaah.

Acara sambutan ambang tahun baru turut diadakan di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir yang disertai lebih 10,000 pengunjung tempatan dan luar negara.

Di JOHOR BAHARU, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman bersama Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyertai ribuan masyarakat menyambutnya di Sutera Square. Turut diadakan konsert oleh artis tempatan dan antarabangsa dari Taiwan dan Singapura.

Di GEORGE TOWN, 10,000 pengunjung membanjiri Padang Kota Lama bagi menyertai acara menghitung detik tahun baru.

Di IPOH, sambutan diadkan di Stadium Indera Mulia yang disertai 5,000 pengunjung. - BERNAMA

Artikel Lain