suria

PRU-13: Polis Diingatkan Tidak Terperangkap Permainan Politik Mana-Mana Pihak

JOHOR BAHARU: Pegawai dan anggota polis di negeri ini diingatkan supaya tidak mudah 'terperangkap' dengan permainan politik mana-mana pihak yang sengaja menyalahkan polis terhadap sesuatu isu yang berlaku pada pilihan raya umum akan datang.

Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman berkata tanggungjawab polis pada pilihan raya umum kelak pastinya cukup hebat memandangkan provokasi biasanya akan digunakan bagi mengujui kesabaran pasukan keselamatan.

"Berdasarkan pengalaman, ada puak atau pihak sengaja menjadikan pasukan keselamatan sebagai sasaran mereka. Saya berharap para pegawai dan anggota tidak mudah terjebak dengan perangkap ini supaya jadi tidak keruan.

"Jika ianya berlaku, maka dengan mudahlah pasukan keselamatan dijadikan sasaran alasan dan dipersalahkan dalam sesuatu peristiwa atau isu yang berlaku," katanya berucap pada majlis makan malam penghargaan kerajaan negeri terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor, di sini, malam Ahad.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Abdul Ghani berkata kerajaan negeri berkeyakinan pasukan polis mampu mengatasi segala cabaran yang dihadapi pada musim pilihan raya umum kelak berdasarkan pelbagai cabaran ditempuhi dalam pilihan raya sebelum ini termasuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Tenang, tahun lepas.

Beliau berkata kecekapan dan kesabaran pasukan polis dapat dilihat pada pilihan raya kecil itu apabila proses mengundi tetap berjalan lancar dalam keadaan hujan lebat manakala keselamatan penduduk tetap terjamin walaupun dilanda banjir.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata keselamatan di negeri ini akan terus berada pada tahap terbaik berdasarkan keupayaan kontinjen PDRM Johor mengekalkan penurunan indeks jenayah buat lima tahun berturut-turut sejak 2008.

Katanya sebagai petanda kejayaan, PDRM Johor mendapat pujian dari pelbagai pihak menerusi pendekatan kepolisan yang diterjemahkan sepanjang penganjuran Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) kelapan, pada 4 hingga 6 Disember lepas.

Menurut Abdul Ghani kerajaan negeri akan terus memberikan bantuan dan sokongan kepada PDRM bagi menjamin keselamatan di negeri ini seiring dengan perkembangan ekonomi khususnya pembangunan Iskandar Malaysia.

"Kerajaan negeri yakin cabaran perkhidmatan polis tidak ada noktahnya selagi nadi manusia berdenyut lebih-lebih lagi dengan kepesatan pembangunan Iskandar Malaysia termasuk kewujudan beberapa destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa yang menuntut lebih perhatian daripada PDRM.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri turut berharap agar pelbagai kaedah dan inisiatif seperti skuad bermotor dan polis dalam komuniti diperkasakan supaya lebih berkesan dalam menjamin kehidupan di negeri ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain