suria

Tiga Maut Dalam Kemalangan Di Kota Tinggi

JOHOR BARU: Tiga terbunuh termasuk dua kanak-kanak apabila kereta Proton Iswara yang dinaiki terbabas lalu bertembung dengan sebuah kereta Mercedes Benz di Kilometer 24 Jalan Johor Baharu-Mersing, dekat sini, tengah hari Ahad.

Mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada 12 tengah hari itu ialah Ating Dasa, 25, dan dua anak saudaranya Brigeson Megong, 10, dan Laire Tifany Gasah, 7.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Che Mahazan Che Aik berkata Ating yang memandu kereta tersebut meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua anak saudaranya meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, di sini.

"Kereta Proton Iswara yang dipandu Ating dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung kereta Mercedes Benz yang dipandu seorang lelaki," katanya ketika dihubungi, di sini, Ahad.

Beliau berkata Proton Iswara itu turut dinaiki dua anak lelaki Ating dan mereka sekeluarga dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada), Kota Tinggi.

Che Mahazan berkata dua anak mangsa dan pemandu kereta Mercedes Benz itu yang cedera parah dirawat di hospital sama.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain