Semua Bakal Calon BN PRU-13 Bebas Rasuah, Jenayah - Tengku Adnan - Semasa | mStar

Semua Bakal Calon BN PRU-13 Bebas Rasuah, Jenayah - Tengku Adnan

PUTRAJAYA: Semua calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU Ke-13) bebas rasuah dan jenayah, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada Sabtu.

Beliau berkata bakal calon BN bagi kesemua 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah melalui proses saringan teliti termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi untuk memastikan calon tersebut 'bersih' dan bebas masalah.

"Semua calon BN yang bakal bertanding telah melalui proses saringan yang teliti,"katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan persekolahan, uniform Rela, ramah mesra bersama pemimpin dan pesta jom makan durian di sini Sabtu.

Selain itu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno berkata latar belakang bakal-bakal calon BN juga dikaji secara mendalam untuk memastikan mereka adalah pilihan rakyat.

"Kita mahu calon yang bakal bertanding itu adalah mereka yang dikehendaki rakyat, bukannya kehendak parti atau individu-individu dalam parti. Kita mahu calon yang rakyat fikirkan dia boleh mewakili rakyat," katanya.

Mengenai muka baru dan calon wanita yang bakal bertanding dalam PRU Ke-13 nanti, Tengku Adnan berkata "itu rahsia parti".

Baru-baru ini, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM Datuk Johan Jaaffar mencadangkan semua parti politik menghantar senarai calon yang akan bertanding dalam PRU Ke-13 untuk ditapis SPRM.

Cadangan itu adalah untuk memastikan calon-calon yang bakal bertanding 'bersih' daripada rasuah selain mengelak sebarang tohmahan tidak berasas ke atas mana-mana individu atau parti di belakang calon itu.

Pada majlis yang sama, Tengku Adnan yang juga Anggota Parlimen Putrajaya berkata beliau dan Perbadanan Putrajaya (PPj) akan terus menggemblengkan tenaga untuk menyediakan keperluan bagi memberikan keselesaan kepada penduduk.

"Saya juga memohon maaf kepada penduduk di sini kalau ada kesilapan-kesilapan yang terlepas pandang atau terlupa perkara-perkara yang patut saya lakukan bagi pihak mereka, tetapi tak dapat lakukan.

"Saya juga mengingatkan mereka agar menjadi masyarakat contoh untuk negara kerana Putrajaya merupakan sebuah bandar lestari," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Tiga Maut Dalam Kemalangan Di Kota Tinggi

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

Artikel Lain

Guardiola bakal tinggalkan City?