suria

Rumah No.39 Di Tepi Cerun Runtuh Akan Dirobohkan Selewat-Lewatnya Isnin - Polis

KUALA LUMPUR: Rumah yang hampir musnah di pinggir cerun runtuh di Bukit Setiawangsa akan dirobohkan selewat-lewatnya Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Othman Abu Bakar berkata lampu hijau untuk merobohkan rumah tersebut yang mana separuh daripadanya telah runtuh, telah diberikan oleh pemaju benteng, I & P Sdn Bhd dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

"Ia boleh jadi hari ini atau esok bergantung kepada pakar. Kita akan menunggu untuk mendapatkan nasihat tentang bagaimana rumah akan dirobohkan," kata Supt Othman kepada pemberita, Ahad.

Rumah No. 39 itu disewa oleh sebuah keluarga Iraq yang berpindah keluar dua hari sebelum runtuhan selepas mendapati terdapat keretakan di rumah mereka.

Tiada seorang pun daripada penduduk mengenali pemilik rumah tersebut.

Supt Othman berkata dua banglo lain masih dianggap berada dalam zon bahaya.

Beliau berkata pemaju telah mula melakukan kerja-kerja untuk mencegah hakisan susulan pada benteng.

"Satu laluan alternatif bagi penduduk dan pemandu untuk memintas jalan benteng itu juga telah dibuka di sepanjang Jalan Persiaran Setiawangsa," katanya.

Difahamkan I & P Sdn Bhd akan bertemu dengan penduduk di Dewan Komuniti Setiawangsa pada pukul 5 petang ini untuk menangani sebarang isu.

Artikel Lain