suria

Mayat Tiga Warga Myanmar Ditemui Dalam Hutan

KUALA NERANG: Mayat tiga lelaki warganegara Myanmar berumur antara 18 hingga 30 tahun yang dipercayai dibunuh ditemui di dalam hutan Kampung Cebar, Tanjung Piring dekat sini, Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Zakaria Ahmad berkata pembunuhan itu dipercayai berlaku dua hari lepas kira-kira pukul 11 malam.

Katanya seorang rakan mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Nerang pada 1 tengah hari, Ahad mengenai kejadian dia dan rakannya diserang sekumpulan lelaki sebelum membawa polis ke tempat kejadian dan menemui mayat ketiga-tiga rakannya itu.

Dalam aduannya, warga Myanmar itu berkata mereka diserang sekumpulan 12 hingga 13 orang lelaki di hutan, bagaimanapun dia yang turut mengalami kecederaan berjaya menyelamatkan diri, kata Zakaria kepada pemberita semasa ditemui di tempat kejadian.

Katanya terdapat kesan hentakan di kepala, leher dan belakang ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Arakan, Myanmar dan dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan.

Beliau berkata warga Myanmar itu bekerja sebagai penoreh getah di kampung itu.

Katanya polis telah melancarkan gerakan memburu suspek.

Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat, kata Zakaria. - BERNAMA

Artikel Lain