suria

Lebih 400 Rohingya Ditahan Di Langkawi

LANGKAWI: Seramai 452 pendatang tanpa izin Rohingya yang memasuki perairan Langkawi ditahan di Kawasan Pantai Teluk Burau di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Harrith Kam Abdullah berkata dari jumlah itu seramai 431 adalah lelaki, 13 wanita dan 8 kanak-kanak.

Katanya, menurut saksi kejadian, bot kayu sepanjang 30 meter secara tiba-tiba menghampiri kawasan pantai pada jam 1.30 petang dan dengan pantas kelihatan beberapa pelarian terjun dan meluru ke kawasan pantai untuk meminta air.

Mereka difahamkan telah belayar dari Myanmar selama 12 hari dengan dikenakan bayaran setiap seorang sebanyak USD300 oleh agen yang tidak dikenali, katanya.

Agen berkenaan tidak memaklumkan lokasi yang akan dituju namun mereka telah diminta untuk terjun ke laut setelah menghampiri kawasan pantai.

Harrith Kam berkata, mereka kini ditempat di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi dan akan diserahkan kepada pusat tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Lain