suria

Kajian Penilaian Risiko Perlu Dibuat Di Bukit Setiawangsa - Pakar Geologi

KUALA LUMPUR: Seorang pakar geologi pada Ahad menyarankan satu kajian penilaian risiko dijalankan di keseluruhan kawasan Bukit Setiawangsa berikutan insiden pergerakan tanah dan tanah runtuh di Puncak Setiawangsa di sini Jumaat lepas.

Cadangan itu dibuat Penyelaras Program Bencana Geologi di Institut Kajian Bencana Asia Tenggara, Universiti Kebangsaan Malaysia (SEADPRI), Prof Madya Dr Tajul Anuar Jamaluddin.

Beliau berkata pihaknya telah melakukan cerapan di kawasan tanah runtuh itu serta kawasan sekitar hari ini, dan mendapati struktur tanah tidak kukuh disebabkan beban takungan air di dalam tanah.

"Saya lakukan cerapan pada 12.30 tengah hari tadi, dan antara pengamatan yang dibuat ialah kawasan cerun bukit ini harus dilandaikan permukaannya daripada 70 peratus permukaan kepada 30 peratus," katanya kepada pemberita.

Pakar itu berkata kebanyakan kawasan lereng bukit di Bukit Setiawangsa ditutup dengan dinding konkrit menyebabkan air hujan terperangkap di dalam tanah, menjadikannya berat sekali gus memungkinkan kejadian tanah runtuh.

"Kita juga dapati simen konkrit tidak lagi sesuai dibuat di kawasan itu kerana ia memerangkap air daripada dialirkan keluar dari tanah," kata Dr Tajul Anuar.

Jelas beliau, selain penggunaan dinding konkrit, alternatif lain yang terdapat di Switzerland ialah penggunaan jaringan keluli untuk menahan tanah di lereng bukit.

Katanya, teknologi itu dapat menahan tanah serta membiarkan air hujan yang meresap di dalam struktur tanah dialirkan secara semula jadi. - BERNAMA

Artikel Lain