suria

Empat Lelaki Termasuk Bekas Tentera Disyaki Pengedar Dadah Ditahan

KUANTAN: Empat lelaki termasuk seorang bekas tentera dipercayai pengedar dadah, ditahan polis dalam serbuan di sebuah kawasan perumahan dekat bandar Jerantut, Jumaat lepas.

Ketika ditahan pada 8.45 malam, suspek terbabit berusia lingkungan 19 hingga 32 tahun dikatakan baru sahaja selesai membungkus dadah sebelum diedar kepada pelanggan.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail berkata serbuan dilakukan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sebaik saja menerima maklumat awam.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui heroin seberat 134 gram bernilai RM10,000, syabu seberat 25 gram bernilai RM15,000, 720 biji pil eramine bernilai RM17,000 di rumah berkenaan," katanya.

Azid berkata siasatan awal mendapati bekas tentera berumur 32 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau.

Kesemua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain