suria

Lebih Tiga Rakyat Malaysia Masih Giat Aktif Dalam Militan

KUALA LUMPUR: Terdapat lebih daripada tiga rakyat Malaysia dipercayai turut bergiat aktif dalam kegiatan kumpulan militan yang dianggotai suspek rakyat Malaysia yang ditembak mati di sebuah hotel di Davoa, Filipina dua minggu lepas.

Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/ Anti Pengganas) Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis mengetahui kedudukan rangkaian mereka di mana mereka saling berkomunikasi antara satu sama lain pada setiap masa untuk aktiviti militan.

Beliau berkata, polis masih mengumpul bukti yang cukup sebelum menangkap anggota lain dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas itu.

"Masih dalam siasatan dan kita tidak menolak kemungkinan mereka sertai kumpulan itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai program 'Walkabout High Profil Policing Meet and Greet', di pusat beli-belah Leisure Mall di sini, Jumaat.

Beliau mengulas mengenai saki baki anggota kumpulan pengganas yang sama dengan Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, yang ditembak mati oleh polis Filipina di sebuah hotel pada 14 Disember, selepas bergelut dengan polis yang ingin memeriksa beg sandang berisi bom buatan sendiri dibawa isterinya.

Mohamad Fuzi berkata, polis juga sedang bekerjasama dengan pihak penguasa negara jiran untuk memantau kegiatan militan di sana.

Berhubung kes perbicaraan Razif Mohamad Ariffin, 28, dan Mohamad Razin Shahar Mustapha Kamal, 21 yang sepatutnya dibicarakan pada 29 dan 30 November lepas, beliau berkata kes itu telah ditangguhkan dan tarikh perbicaraan mereka masih belum diumumkan.

Pada 18 Oktober, Razif dan Mohamad Razin Shahar ditahan oleh pihak Lubnan kerana disyaki dilatih menjadi pengebom berani mati dan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain