suria

Bertindak Bakar Bas Selepas Rakan Maut

KUANTAN: Sekumpulan lelaki bertindak membakar sebuah bas kilang apabila seorang penunggang motosikal yang dipercayai rakan mereka maut akibat merempuh belakang bas berkenaan yang berada di bahu jalan.

Kejadian berlaku 6.40 pagi Jumaat apabila mereka menyimbah petrol lalu membakar bas itu di Km17 Jalan Besar Ringlet-Sungai Koyan, Kampung Leyar berhampiran Cameron Highlands.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, rakan mereka yang juga seorang buruh dilaporkan maut selepas motosikalnya merempuh bahagian belakang bas berkenaan.

Mangsa M. Sarimutu, 40, dari Batu Gajah, Perak yang dalam perjalanan ke sebuah tapak pembinaan di kawasan berhampiran mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, seorang rakan mangsa yang melihat kejadian itu telah menghubungi rakan-rakannya yang lain yang sejurus tiba di tempat kejadian, bertindak membakar bas berkenaan sehingga rentung.

Siasatan awal mendapati bas berkenaan diletakkan di tempat kejadian sejak dua hari lepas kerana mengalami kerosakan enjin, katanya.

Pihak polis sedang mengesan kumpulan terbabit dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain