suria

Benteng Konkrit Runtuh Di Puncak Setiawangsa

KUALA LUMPUR: Penduduk di Puncak Setiawangsa di sini cemas apabila benteng konkrit berdekatan rumah mereka tiba-tiba runtuh malam Jumaat.

Menurut Penolong Pengerusi Persatuan Penduduk Puncak Setiawangsa Fauziah Jamaludin, dianggarkan 20 banglo terdapat di kawasan puncak bukit itu dan difahamkan kurang daripada 10 terletak berhampiran tebing itu.

"Ini kejadian pertama sejak saya menetap di sini 16 tahun lepas," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Pasukan bomba dan polis dilihat berada di lokasi kejadian.

Penduduk terlibat diminta mengosongkan kediaman masing-masing dan mengambil dokumen dan barangan penting selain mengalihkan kenderaan sebagai langkah berjaga-jaga.

Seorang penduduk B.Selvarani, 26, berkata beliau terdengar bunyi tanah runtuh di belakang rumah teresnya di bawah tebing berkenaan.

"Tanah yang runtuh hampir masuk ke dalam rumah saya," katanya yang ketika kejadian sedang membasuh baju.

Selvarani berkata beliau segera membawa keluar anggota keluarganya seramai empat orang dari kediamannya.

Sehingga berita ini ditulis, pihak polis dan bomba belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain