suria

Banjir Di Pantai Timur Kian Pulih

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu semakin baik manakala Pahang pulih sepenuhnya apabila semua pusat pemindahan di negeri berkenaan ditutup sejak awal pagi Sabtu.

Menurut Portal Rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) tiada lagi pusat pemindahan dibuka di Pahang manakala Terengganu mencatatkan jumlah mangsa 17,246 orang dengan Kelantan 5,731 orang.

Sehingga kini, jumlah mangsa banjir di kedua-dua negeri tersebut seramai 22,522 orang berbanding 23,307 orang malam Jumaat.

Di TERENGGANU, dua daripada tujuh daerah yang dilanda banjir telah pulih sehingga pukul 9 pagi ini, iaitu Setiu dan Besut, kata jurucakap MKN negeri.

Lima lagi daerah yang masih mengalami banjir termasuk 12,094 orang di Kemaman, Dungun (4,090 orang), Kuala Terengganu (1,002 orang), Hulu Terengganu (36 orang) dan Marang (24 orang), kata jurucakap MKN negeri ketika dihubungi.

Katanya 49 pusat penempatan masih dibuka iaitu Kemaman (19), Dungun (22), Kuala Terengganu (enam) dengan masing-masing sebuah di Hulu Terengganu dan Marang.

Sebanyak 13 pusat pemindahan telah ditutup sehingga malam tadi berikutan ramai mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Di KELANTAN, 4,726 mangsa berada di tiga pusat pemindahan di Tumpat dengan 1,005 mangsa berada di enam pusat pemindahan di Pasir Mas.

Semua jalan utama di Terengganu dan Kelantan boleh dilalui manakala paras air di semua sungai utama kembali normal kecuali Sungai Golok di Rantau Panjang yang masih berada di paras bahaya.

Setakat ini, hanya banjir di Terengganu meragut dua nyawa, iaitu seorang wanita Samhanim Ramli, 36, yang lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Lanjut di Jambatan Permaisuri, Setiu pada Selasa dan seorang remaja, Mohd Hamidi Abdul Hamid, 15, yang lemas ketika bermain air di kawasan perumaham Bukit Mentok Kemaman, Rabu lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain