KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan penyeludupan dadah seberat 4.9kg bernilai hampir RM1 juta ke negara ini berikutan penahanan seorang warganegara India di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS) di sini.Dalam kejadian Rabu lepas itu, lelaki berusia 37 tahun ditahan di balai ketibaan LTSAS, pada 8.10 pagi. Menurut Pengarah Kastam Pahang Datuk Sarip Ismail berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek menyembunyikan dadah di bahagian bawah bagasinya dan cuba membawa keluar melepasi kawalan kastam."Dadah jenis methamphetamine seberat 4.9kg itu bernilai RM931,000 itu berjaya dirampas setelah pihak kastam memeriksa bagasi suspek," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, suspek berjaya melepasi lapangan terbang antarabangsa iaitu dari Calcutta, India ke Singapura seterusnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke LTSAS.Katanya, siasatan juga mendapati suspek yang dipercayai terlibat dalam sindiket dadah itu memasuki negara ini sebagai pelancong.Beliau berkata pihaknya akan mempertingkatkan pemeriksaan di LTSAS dalam usaha mengesan dan membanteras aktiviti penyeludupan dadah itu."Suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati," katanya.Beliau berkata pihak kastam memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan sebarang penyeludupan."Laporan boleh dibuat melalui E-Aduan (borang kastam online) ataupun hubungi talian bebas tol 1800 88 8855 atau hubungi Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JKDM di talian 03-88822200," katanya. - BERNAMA